Tuesday, 17 December 2013

KEBIJAKSANAAN DZATUN NITHAQAIN


Abdullah bin Zubair, membicarakan tentang umminya, Asma’ Binti Abu Bakar, "Aku belum pernah melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan sedikit pun sehingga hari esok."

Dzatun nithaqain, gelaran khusus buatnya yang diberikan oleh Rasulullah yang bermaksud "wanita yang mempunyai dua tali pinggang" kerana keberanian Asma' yang berperanan sewaktu peristiwa Hijrah. Susuk tubuh muslimat ini bukan dari calang-calang orang. Dari rahimnya telah lahir Abdullah Bin Zubair, seorang anak muda yang berkualiti, merupakan generasi yang mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya, merupakan cetakan peribadi generasi yang siap berjuang membela Islam dan kalimah Lailahaillah Muhammad Rasulullah! Anak muda ini dibentuk hasil dari ‘air tangan’ seorang wanita yang begitu memahami peranannya dalam melahirkan generasi penyambung rantai perjuangan Islam.

Ketika pertemuan terakhir dua beranak ini, yang saling menumpahkan kasih semata-mata kerana mencintai Allah swt, Abdullah memberi salam buat ibunda dan berhajat untuk bermusyawarah tentang suatu permasalahan.

“Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang kuminta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?” luah si anak.

“Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! Dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!” tegas Asma’.

Abdullah membalas, “Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.”

Dengan yakin Asma; berkata,”Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah  dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!”

“Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!” Abdullah berterus terang.

Diyakinkan oleh Asma bahawa, “Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya dikupas orang!”

“Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah kudengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!” bicara sang perwira.

“Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat,” kata Asma’.

Abdullah meyakinkan, “Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.”

“Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu..."

PENUTUP


Saya yang berbicara bukanlah bererti saya yang terbaik. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semoga usaha kita untuk menjadi ibu yang cerdik dapat ditingkatkan. Even tak jadi ibu pun, kita adalah daie. Untuk menggapainya perlukan perngorbanan. Semakin pahit pengorbanan, semakin manis kejayaan. Korbankan ‘Ismail’mu. J

Sekiran, wassalam.

No comments:

Post a Comment